Halaman


Jumaat, 25 Januari 2013

Berkerjaya dan Bersabar dalam Berumah Tangga

Bukan mudah untuk menjadi ibu yang berkerjaya. Tugasan di tempat kerja sedikit sebanyak pasti akan mengalih fokus dan tenaga daripada mereka yang tersayang. Terbayang anak-anak. Terbayang suami. Jika pandai membahagikan masa, subhanallah, anda memang hebat! Jika tidak, maka inilah masanya untuk kita sama-sama renung kembali peranan kita yang sebenar. Bak catatan dalam buku Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang berjudul 'Nota Hati Seorang Lelaki', gelanggang perempuan sebenarnya lebih besar di dalam rumah berbanding di luar sana.

Namun siapakah yang mampu nafikan, kos saraan hidup yang kian meningkat menyebabkan ramai di kalangan isteri untuk berganding bahu dengan suami dalam mencari nafkah yang halal. Tidak kiralah di mana tempatnya, sama ada menerusi alam maya seperti blog mahupun secara langsung di luar rumah, anda sebenarnya sedang mencari nafkah.

Catatan kali ini hanya menyentuh satu perkara - mampukah kita sebagai seorang ibu yang berkerjaya dalam membahagikan masa dan tenaga untuk anak-anak dan suami? Kadang-kala dek keletihan yang melampau setelah pulang dari tempat kerja, kita hanya mampu fikir untuk diri-sendiri. Ketika inilah kita benar-benar diuji. Jika anak-anak mula 'buat hal', silap hari bulan, melenting juga kita! Maka apakah penyelesaian terbaik untuk perkara seperti ini? Bersabarlah.

Mudah untuk diperkatakan, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Namun bagi pendokong dan perindu Cinta Allah, ini pasti menyuntik semangat yang manis walaupun perit. Ungkaplah doa buat-Nya agar setiap titisan peluh yang keluar dari tubuh badan kita menjadi saksi atas keikhlasan kita dalam mencari redha-Nya. Pintalah kurniaan kudrat dan tenaga daripada-Nya kerana sesungguhnya, setiap anggota tubuh badan kita hanya mampu bergerak hanya atas izin-Nya.

Kepada suami pula, fahamilah perasaan isteri anda dan bantulah mereka kerana tidak mungkin 'rumah' dan 'tangga' itu menjadi 'rumah tangga' melainkan jika kedua-duanya diganding bersama. Sikap saling memahami dan bertolak ansur mampu membina kebahagiaan dalam alam rumah tangga hingga memutikkan kemanisan yang tiada tolok bandingnya!

Catatan ini adalah catatan sayang khas buat puteriku, Ummu Sakeenah, yang tidak jemu memintaku untuk bersedekah dengan senyuman. 

"Ummi, senyumlah!" katanya. Duhai cintaku, masam sangatkah Ummi?

Habis satu Januari Sakeenah 'booking' masa Abinya. Orang lain tak boleh kacau!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...