Halaman


Sabtu, 2 Februari 2013

Mengurut Pericardium 6 (P6) Sebagai Langkah Menghilangkan Rasa Mual

Tahukah anda, terdapat satu kaedah menarik bagi menghilangkan rasa loya ketika hamil? Ya, dengan kaedah mengurut. Tetapi bukan mengurut badan ya - teknik ini menggunakan kaedah urut pada bahagian P6 yang terletak berhampiran dengan pergelengan tangan.

Pelik, bukan? Ini juga pertama kali saya pernah mendengarnya namun amalan ini begitu popular di kalangan mereka yang mengamalkan teknik purba perubatan Cina. Berdasarkan pembacaan saya, teknik yang dipanggil acupressure ini berasal daripada teknik akupunktur (acupuncture). Konsep acupressure bermaksud mengenakan tekanan fizikal pada titik akupunktur dengan menggunakan sama ada tangan, siku, atau peralatan lain. Titik akupunktur yang berkait dengan rasa loya, sakit perut, mabuk gerak, dan sakit kepala adalah titik yang dipanggil Nei Guan, atau istilah lainnya, pericardium 6 (P6).

Sejauh mana keberkesanannya, wallaahu a'lam, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Saya pun tak pernah cuba. Namun kajian yang telah dilakukan oleh Wertoft E. menyatakan bahawa ransangan  pada bahagian Nei Guan dapat mengurangkan rasa loya dan ingin muntah ketika mengandung.

Untuk mengesan dan mengguna titik acupressure ini:
  1. Cari titik tersebut dengan meletakkan tangan anda dalam keadaan tapak tangan menghadap ke atas; 
  2. Urut menghala ke bawah antara dua tendon dalam 4-5 saat.

Titik P6 terletak pada bahagian tengah tangan.
Empat-jari jaraknya dari bahagian bawah pergelangan tangan.
Terletak pada bahagian lekukan antara dua tendon.
Kenakan tekanan dan urut 4-5 saat.
Jika anda mengalami loya yang berpanjangan, anda mungkin ada masalah kesihatan. Segeralah berjumpa doktor!

Rujukan:
  1. Werntoft E, Dykes AK. Effect of acupressure on nausea and vomiting during pregnancy. A randomized, placebo-controlled, pilot study. J Reprod Med. 2001 Sep;46(9):835-9.
  2. Nunley C, Wakim J, Guinn C J. The effects of stimulation of acupressure point p6 on postoperative nausea and vomiting: a review of literature Perianesth Nurs. 2008 Aug;23(4):247-61.
  3. Yin J, Chen JD. Gastrointestinal motility disorders and acupuncture. Auton Neurosci. 2010 Oct 28;157(1-2):31-7. Epub 2010 Apr 3.
  4. Chang CC, et al. Resolution of intractable hiccups after near-infrared irradiation of relevant acupoints. American Journal of Medical Science. 2006 Aug; 332 (2):93-6.

Jumaat, 25 Januari 2013

Berkerjaya dan Bersabar dalam Berumah Tangga

Bukan mudah untuk menjadi ibu yang berkerjaya. Tugasan di tempat kerja sedikit sebanyak pasti akan mengalih fokus dan tenaga daripada mereka yang tersayang. Terbayang anak-anak. Terbayang suami. Jika pandai membahagikan masa, subhanallah, anda memang hebat! Jika tidak, maka inilah masanya untuk kita sama-sama renung kembali peranan kita yang sebenar. Bak catatan dalam buku Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang berjudul 'Nota Hati Seorang Lelaki', gelanggang perempuan sebenarnya lebih besar di dalam rumah berbanding di luar sana.

Namun siapakah yang mampu nafikan, kos saraan hidup yang kian meningkat menyebabkan ramai di kalangan isteri untuk berganding bahu dengan suami dalam mencari nafkah yang halal. Tidak kiralah di mana tempatnya, sama ada menerusi alam maya seperti blog mahupun secara langsung di luar rumah, anda sebenarnya sedang mencari nafkah.

Catatan kali ini hanya menyentuh satu perkara - mampukah kita sebagai seorang ibu yang berkerjaya dalam membahagikan masa dan tenaga untuk anak-anak dan suami? Kadang-kala dek keletihan yang melampau setelah pulang dari tempat kerja, kita hanya mampu fikir untuk diri-sendiri. Ketika inilah kita benar-benar diuji. Jika anak-anak mula 'buat hal', silap hari bulan, melenting juga kita! Maka apakah penyelesaian terbaik untuk perkara seperti ini? Bersabarlah.

Mudah untuk diperkatakan, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Namun bagi pendokong dan perindu Cinta Allah, ini pasti menyuntik semangat yang manis walaupun perit. Ungkaplah doa buat-Nya agar setiap titisan peluh yang keluar dari tubuh badan kita menjadi saksi atas keikhlasan kita dalam mencari redha-Nya. Pintalah kurniaan kudrat dan tenaga daripada-Nya kerana sesungguhnya, setiap anggota tubuh badan kita hanya mampu bergerak hanya atas izin-Nya.

Kepada suami pula, fahamilah perasaan isteri anda dan bantulah mereka kerana tidak mungkin 'rumah' dan 'tangga' itu menjadi 'rumah tangga' melainkan jika kedua-duanya diganding bersama. Sikap saling memahami dan bertolak ansur mampu membina kebahagiaan dalam alam rumah tangga hingga memutikkan kemanisan yang tiada tolok bandingnya!

Catatan ini adalah catatan sayang khas buat puteriku, Ummu Sakeenah, yang tidak jemu memintaku untuk bersedekah dengan senyuman. 

"Ummi, senyumlah!" katanya. Duhai cintaku, masam sangatkah Ummi?

Habis satu Januari Sakeenah 'booking' masa Abinya. Orang lain tak boleh kacau!

Ahad, 13 Januari 2013

Doa Agar Terpelihara Anak dalam Kandungan

Ketika menelusuri alam maya ini, pengarang terlintas ke sebuah blog karangan Miracle of Qaseh. Dalam salah satu petikannya, beliau telah berkongsi satu doa menarik yang boleh diamalkan untuk mereka yang bakal melahirkan anak. Menurut pencarian Google, doa ini dibaca oleh ibu kepada Nabi Muhammad salallaahu 'alaihi wa sallam, yakni Aminah. Sejauh mana kesahihannya tidak dapat dikenal pasti (mungkin siapa-siapa yang ada ilmu tentangnya boleh berkongsi di sini). Apa pun, amalkanlah doa ini kerana intipatinya bertepatan dengan kehendak kita yang inginkan anak yang soleh dan sihat mental dan fizikal. Amin.

*Sebarang ralat yang dijumpai pada doa ini, sila maklumkan. Mohon maaf atas segala kekurangan.

Doa Agar Terpelihara Anak dalam Kandugan

اللَّهُمَّ احْفَظْ وَلَدِيْ مَادَامَ فِى بَطْنِيْ وَاشْفِهِ أَنْتَ شَافٍ لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
Ya Allah, peliharalah anakku selama dia berada di dalam perutku, dan sihatkanlah dia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhan-Mu, penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.

اللَّهُمَّ صَوِّرْهُ فِى بَطْنِيْ صُورَةً حَسَنَةً وَثَبِّتْ قَلْبَهُ إِيمَانًا بِكَ وَبِرَسُوْلِكَ
Ya Allah, rupakanlah/bentukkanlah dia yang berada di dalam perutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah dalam hatinya akan keimanan kepada-Mu dan Rasul-Mu.

اللَّهُمَّ اخْرُجْهُ مِنْ بَطْنِيْ وَقْتَ وِلَادَتِيْ سَهْلًا وَتَسْلِيْمًا
Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku, di kala waktu bersalin, dengan mudah dan selamat.


اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَحِيْحًا كَامِلًا وَعَاقِلًا حَاذِقًا عَالِمًا عَامِلًا
Ya Allah, jadikanlah dia anak yang sihat, dan berakal, pandai, alim (dan) beramal.

اللَّهُمَّ طَوِّلْ عُمْرَهُ وَصَحِّحْ جَسَدَهُ وَحَسِّنْ خُلُقَهُ وَأَفْصِحْ لِسَانَهُ وَأَحْسِنْ صَوْتَهُ لِقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ وَالْحَدِيْثِ بِبَرَكَةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
Ya Allah, panjangkanlah umurnya, jadikanlah jasadnya utuh, kurniakanlah budi pekerti yang baik padanya, kurniakanlah lisan yang fasih, kurniakanlah baginya suara yang indah untuk membaca Al Quran dan hadis dengan keberkatan Nabi Muhammad sallallaahu 'alaihi wa sallam, dan segala puji bagi Allah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...