Halaman


Ahad, 13 Mei 2012

Hukum Bacaan Ayat-ayat Al-Qur'an Tertentu Semasa Hamil

Memang lumrah manusia, apabila berada dalam kesulitan, mereka akan kembali mengingati Tuhan. Malah umat Islam diseru untuk mengingati Allah dalam apa jua keadaan. Begitulah fitrah manusia, andai tiada keimanan kepada Sang Pencipta, pasti manusia itu akan hilang tempat mengadu selamanya. Sedangkan alam ini teratur pentadbirannya. Daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya, terdapat susunan dan aturcara tertentu yang membuktikan Allah itu wujud, Allah itu Maha Berkuasa.

Apabila kita mengingati Allah, sudah pasti kita akan kembali kepada Al-Qur'an. Persoalannya, adakah terdapat doa-doa atau surah-surah tertentu untuk ibu yang hamil sama ada pada saat akan melahirkan anak, sebelum melahirkan, dan selepas melahirkan?

Menurut satu sumber yang disusun oleh Abu Muhammad Ibnu Shalih bin Hasbullah, tidak ada doa atau ayat-ayat tertentu bagi wanita yang hamil mahupun yang dalam peringkat melahirkan. Kita mungkin sering mendengar atau membaca keterangan-keterangan yang berlegar di Internet atau mana-mana cetakan bahawa untuk mendapat anak lelaki, hendaklah dibaca ayat sekian. Manakala untuk mendapat anak yang cantik, hendaklah dibaca ayat sekian. Begitulah seterusnya.

Hakikatnya, apa jua ayat daripada Al-Qur'an, semuanya adalah syifa' (penyembuh, ubat) bagi mereka yang beriman. Asalkan si pembaca tadi yakin dengan pengaruh/khasiat/manfaat ayat yang dibaca, sudah pasti ayat tersebut akan membawa manfaat kepadanya.

Pendek kata, janganlah disebabkan ada ayat-ayat tertentu dalam Al-Qur'an yang mengandungi makna tersurat tentang kehamilan, do'a memohon zuriat dan sebagainya, maka kita menipiskan skop hanya pada ayat-ayat tersebut. Banyak lagi ayat-ayat dalam Al-Qur'an yang mengandungi khasiat yang baik terutama untuk mereka yang sedang berusaha untuk mendapat cahaya mata, ibu yang hamil mahupun kandungan dalam perut ibu.

Allah telah berfirman:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إلَّا خَسَارًا

"Dan Kami turunkan dari Al-Qur'an suatu
yang menjadi penawar dan rahmat
bagi orang-orang yang beriman
dan Al-Qur'an itu tidaklah menambah kepada 
orang-orang yang zalim selain kerugian."
[Surah Al-Israa': 82]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...