Halaman


Memaparkan catatan dengan label ibu mengandung. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ibu mengandung. Papar semua catatan

Sabtu, 2 Februari 2013

Mengurut Pericardium 6 (P6) Sebagai Langkah Menghilangkan Rasa Mual

Tahukah anda, terdapat satu kaedah menarik bagi menghilangkan rasa loya ketika hamil? Ya, dengan kaedah mengurut. Tetapi bukan mengurut badan ya - teknik ini menggunakan kaedah urut pada bahagian P6 yang terletak berhampiran dengan pergelengan tangan.

Pelik, bukan? Ini juga pertama kali saya pernah mendengarnya namun amalan ini begitu popular di kalangan mereka yang mengamalkan teknik purba perubatan Cina. Berdasarkan pembacaan saya, teknik yang dipanggil acupressure ini berasal daripada teknik akupunktur (acupuncture). Konsep acupressure bermaksud mengenakan tekanan fizikal pada titik akupunktur dengan menggunakan sama ada tangan, siku, atau peralatan lain. Titik akupunktur yang berkait dengan rasa loya, sakit perut, mabuk gerak, dan sakit kepala adalah titik yang dipanggil Nei Guan, atau istilah lainnya, pericardium 6 (P6).

Sejauh mana keberkesanannya, wallaahu a'lam, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Saya pun tak pernah cuba. Namun kajian yang telah dilakukan oleh Wertoft E. menyatakan bahawa ransangan  pada bahagian Nei Guan dapat mengurangkan rasa loya dan ingin muntah ketika mengandung.

Untuk mengesan dan mengguna titik acupressure ini:
  1. Cari titik tersebut dengan meletakkan tangan anda dalam keadaan tapak tangan menghadap ke atas; 
  2. Urut menghala ke bawah antara dua tendon dalam 4-5 saat.

Titik P6 terletak pada bahagian tengah tangan.
Empat-jari jaraknya dari bahagian bawah pergelangan tangan.
Terletak pada bahagian lekukan antara dua tendon.
Kenakan tekanan dan urut 4-5 saat.
Jika anda mengalami loya yang berpanjangan, anda mungkin ada masalah kesihatan. Segeralah berjumpa doktor!

Rujukan:
  1. Werntoft E, Dykes AK. Effect of acupressure on nausea and vomiting during pregnancy. A randomized, placebo-controlled, pilot study. J Reprod Med. 2001 Sep;46(9):835-9.
  2. Nunley C, Wakim J, Guinn C J. The effects of stimulation of acupressure point p6 on postoperative nausea and vomiting: a review of literature Perianesth Nurs. 2008 Aug;23(4):247-61.
  3. Yin J, Chen JD. Gastrointestinal motility disorders and acupuncture. Auton Neurosci. 2010 Oct 28;157(1-2):31-7. Epub 2010 Apr 3.
  4. Chang CC, et al. Resolution of intractable hiccups after near-infrared irradiation of relevant acupoints. American Journal of Medical Science. 2006 Aug; 332 (2):93-6.

Ahad, 13 Januari 2013

Doa Agar Terpelihara Anak dalam Kandungan

Ketika menelusuri alam maya ini, pengarang terlintas ke sebuah blog karangan Miracle of Qaseh. Dalam salah satu petikannya, beliau telah berkongsi satu doa menarik yang boleh diamalkan untuk mereka yang bakal melahirkan anak. Menurut pencarian Google, doa ini dibaca oleh ibu kepada Nabi Muhammad salallaahu 'alaihi wa sallam, yakni Aminah. Sejauh mana kesahihannya tidak dapat dikenal pasti (mungkin siapa-siapa yang ada ilmu tentangnya boleh berkongsi di sini). Apa pun, amalkanlah doa ini kerana intipatinya bertepatan dengan kehendak kita yang inginkan anak yang soleh dan sihat mental dan fizikal. Amin.

*Sebarang ralat yang dijumpai pada doa ini, sila maklumkan. Mohon maaf atas segala kekurangan.

Doa Agar Terpelihara Anak dalam Kandugan

اللَّهُمَّ احْفَظْ وَلَدِيْ مَادَامَ فِى بَطْنِيْ وَاشْفِهِ أَنْتَ شَافٍ لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
Ya Allah, peliharalah anakku selama dia berada di dalam perutku, dan sihatkanlah dia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhan-Mu, penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.

اللَّهُمَّ صَوِّرْهُ فِى بَطْنِيْ صُورَةً حَسَنَةً وَثَبِّتْ قَلْبَهُ إِيمَانًا بِكَ وَبِرَسُوْلِكَ
Ya Allah, rupakanlah/bentukkanlah dia yang berada di dalam perutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah dalam hatinya akan keimanan kepada-Mu dan Rasul-Mu.

اللَّهُمَّ اخْرُجْهُ مِنْ بَطْنِيْ وَقْتَ وِلَادَتِيْ سَهْلًا وَتَسْلِيْمًا
Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku, di kala waktu bersalin, dengan mudah dan selamat.


اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَحِيْحًا كَامِلًا وَعَاقِلًا حَاذِقًا عَالِمًا عَامِلًا
Ya Allah, jadikanlah dia anak yang sihat, dan berakal, pandai, alim (dan) beramal.

اللَّهُمَّ طَوِّلْ عُمْرَهُ وَصَحِّحْ جَسَدَهُ وَحَسِّنْ خُلُقَهُ وَأَفْصِحْ لِسَانَهُ وَأَحْسِنْ صَوْتَهُ لِقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ وَالْحَدِيْثِ بِبَرَكَةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
Ya Allah, panjangkanlah umurnya, jadikanlah jasadnya utuh, kurniakanlah budi pekerti yang baik padanya, kurniakanlah lisan yang fasih, kurniakanlah baginya suara yang indah untuk membaca Al Quran dan hadis dengan keberkatan Nabi Muhammad sallallaahu 'alaihi wa sallam, dan segala puji bagi Allah.

Sabtu, 2 Jun 2012

Berapa Banyak Perlu Saya Makan?

"Makan untuk dua orang" mungkin suatu ungkapan yang selalu kita guna untuk menggambarkan sukatan makanan yang patut diambil oleh seorang wanita yang hamil. Walau bagaimanapun, anggapan ini salah sama sekali! Jika anda menganggap bahawa kehamilan merupakan suatu peluang untuk mengambil semua makanan yang anda kehendaki sepuas hati, ingatlah: anda tak perlu mengambil makanan dua kali ganda banyaknya daripada biasa!

Pemakanan yang sihat perlu bagi wanita hamil.

 Sebenarnya, anda hanya memerlukan dalam 300 kalori tambahan setiap hari. Apa yang anda perlu buat adalah memastikan bahawa anda mengambil zat yang mencukupi untuk membantu tumbesaran kandungan sepanjang proses kehamilan. Suatu ungkapan yang paling tepat saranannya adalah "kualiti mendahului kuantiti" atau istilah bahasa Inggerisnya "quality over quantity". Oleh itu, amalkan pemakanan sihat dua kali ganda banyaknya daripada biasa (Eat twice as healthy as before)!

Khamis, 31 Mei 2012

Doa Apabila Terasa Sakit Semasa Hamil atau Melahirkan

Ikuti hadith Nabi Muhammad (sallallaahu 'alaihi wa sallam) berikut tentang suatu amalan dan doa yang boleh dilakukan ketika sakit.

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ الثَّقَفِيِّ أَنَّهُ شَكَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَعًا يَجِدُهُ فِي جَسَدِهِ مُنْذُ أَسْلَمَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَعْ يَدَكَ عَلَى الَّذِي تَأَلَّمَ مِنْ جَسَدِكَ وَقُلْ بِاسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

Diriwayatkan daripada 'Uthman bin Abil-'As Ath-Thaqafiy bahawa ia mengadukan sakitnya kepada Rasulullah (sallallaahu 'alaihi wa sallam) yang ia derita di badannya sejak ia masuk Islam. Lalu Rasulullah (sallallaahu 'alaihi wa sallam) bersabda:
Letakkan tanganmu pada tubuhmu yang terasa sakit, dan bacalah:
بِاسْمِ اللَّهِ
(Dengan Nama Allah) tiga kali, lalu bacalah tujuh kali:
أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ
(Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaan-Nya daripada kejahatan sesuatu yang aku dapati dan aku takuti).
Sumber: Hadith Riwayat Muslim (no. 4082, al-Maktabah asy-Syaamilah)

Selasa, 29 Mei 2012

Doa Memohon Perlindungan Allah Semasa Hamil

Semasa hamil, kita pasti mahukan pembentukan dan pembesaran kandungan yang terpelihara daripada gangguan syaitan dan sekutu-sekutunya. Dunia makin hari makin kuat ancamannya terhadap kerohanian ibu dan juga anak. Oleh itu, awasilah langkah dan tingkah-laku kalian. Peliharalah pendengaran, penglihatan, perbuatanmu, lebih-lebih lagi hati nurani daripada noda dan hasutan syaitan.

Untuk melahirkan anak yang soleh dan solehah, maka kita mesti terlebih dahulu mengislahkan (mengelokkan/memperbaiki) diri. Insya-Allah, zuriat yang soleh/solehah akan Allah kurniakan jua.

رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينَ
وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونَ

"... Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari
hasutan syaitan-syaitan
Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku,
supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku."
[Surah Al-Mu'minuun: 97 - 98]

Ahad, 20 Mei 2012

Petua Menghadapi Dugaan Ketika Hamil

Hidup sudah tentu berencah. Kalau tidak berencah, maka tidaklah dinamakannya suatu kehidupan. Ada kala kita berada di atas, ada kalanya kita berada di bawah.

Menjalani kehidupan sebagai seorang ibu sudah pasti membawa suatu pakej cabaran yang menarik. Yang pasti, Nabi Muhammad (sallallaahu 'alaihi wa sallam) telah menyatakan bahawa keistimewaan ibu itu adalah 3 kali ganda keistimewaan seorang bapa. Manakan tidak:
  • Ibulah yang mengandungkan kita
  • Ibulah yang menderita ketika melahirkan kita. Kalau tidak melahirkan secara biasa sekali pun, pasti terpaksa dibedah untuk mengeluarkan anak melalui "tingkap". Selepas pembedahan, bolehkah anda bayang betapa sakitnya kesan jahitan pembedahan tersebut? 
  • Ibulah yang menyusukan kita, mendodoikan kita hingga lena dibuai zikrullah.
  • Ibulah yang kebiasaannya menitiskan air mata ketika memohon kepada Allah akan kebaikan untuk anak-anaknya.
Pendek kata, ibulah yang banyak berkorban dan berjasa kepada kita.

Dalam entri ini, pengarang ingin berkongsi tips menghadapi musibah yang dipetik daripada sebuah buku karangan saudara Umar Muhammad Noor yang bertajuk "Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia". Tips-tips berikut, walaupun diolah dan direncana khas untuk umum, initipati atau pengajaran di sebaliknya patut diambil oleh para ibu, terutama kita yang meniti kehidupan ini sebagai seorang Muslimah.

Positif Pada Pemikiran

Para ulama' silam sering menunjukkan sikap yang positif terhadap apa jua musibah yang melanda. Sikap ini menunjukkan betapa kita redha dengan ketentuan Allah dan mengakui diri sendiri sebagai hamba-Nya. Janganlah kerana masalah-masalah tertentu, maka kita mula memikirkan yang bukan-bukan.

Ikutilah kisah-kisah menarik tentang pemikiran positif di iluvislam.com.

Menggambarkan Balasan Allah

Setiap ujian yang melanda pasti ada pahala atau balasan yang setimpal dengannya. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Mustahil setiap saat dan sakit yang kita alami ketika hamil itu dipersia-siakan. Sesungguhnya Rasulullah (sallallaahu 'alaihi wa sallam) pernah bersabda yang mafhumnya membawa makna bahawa setiap sakit itu hatta sakit tercucuk duri akan menyebabkan dosa kita diampunkan oleh Allah.

Ikuti rencana menarik di iluvislam.com tentang sakit: antara penghapus dosa dan peningkat darjat.

Berfikir dan Melihat Musibah dari Sudut yang Berlainan

Apabila ditimpa musibah, wajarlah bagi kita untuk menilainya dari pandangan yang berbeza. Walau seperit mana ujian yang kita hadapi, ingatlah masih ramai insan yang jauh lebih hebat ujian dan musibahnya. Bersyukurlah dan berdoalah kepada Allah.

Andai doa masih belum dikabulkan oleh-Nya, terus sahaja berdoa. Sesungguhnya Allah amat menyukai hamba-hamba-Nya yang merayu dan terus berdoa. Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar!

Ahad, 13 Mei 2012

Hukum Bacaan Ayat-ayat Al-Qur'an Tertentu Semasa Hamil

Memang lumrah manusia, apabila berada dalam kesulitan, mereka akan kembali mengingati Tuhan. Malah umat Islam diseru untuk mengingati Allah dalam apa jua keadaan. Begitulah fitrah manusia, andai tiada keimanan kepada Sang Pencipta, pasti manusia itu akan hilang tempat mengadu selamanya. Sedangkan alam ini teratur pentadbirannya. Daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya, terdapat susunan dan aturcara tertentu yang membuktikan Allah itu wujud, Allah itu Maha Berkuasa.

Apabila kita mengingati Allah, sudah pasti kita akan kembali kepada Al-Qur'an. Persoalannya, adakah terdapat doa-doa atau surah-surah tertentu untuk ibu yang hamil sama ada pada saat akan melahirkan anak, sebelum melahirkan, dan selepas melahirkan?

Menurut satu sumber yang disusun oleh Abu Muhammad Ibnu Shalih bin Hasbullah, tidak ada doa atau ayat-ayat tertentu bagi wanita yang hamil mahupun yang dalam peringkat melahirkan. Kita mungkin sering mendengar atau membaca keterangan-keterangan yang berlegar di Internet atau mana-mana cetakan bahawa untuk mendapat anak lelaki, hendaklah dibaca ayat sekian. Manakala untuk mendapat anak yang cantik, hendaklah dibaca ayat sekian. Begitulah seterusnya.

Hakikatnya, apa jua ayat daripada Al-Qur'an, semuanya adalah syifa' (penyembuh, ubat) bagi mereka yang beriman. Asalkan si pembaca tadi yakin dengan pengaruh/khasiat/manfaat ayat yang dibaca, sudah pasti ayat tersebut akan membawa manfaat kepadanya.

Pendek kata, janganlah disebabkan ada ayat-ayat tertentu dalam Al-Qur'an yang mengandungi makna tersurat tentang kehamilan, do'a memohon zuriat dan sebagainya, maka kita menipiskan skop hanya pada ayat-ayat tersebut. Banyak lagi ayat-ayat dalam Al-Qur'an yang mengandungi khasiat yang baik terutama untuk mereka yang sedang berusaha untuk mendapat cahaya mata, ibu yang hamil mahupun kandungan dalam perut ibu.

Allah telah berfirman:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إلَّا خَسَارًا

"Dan Kami turunkan dari Al-Qur'an suatu
yang menjadi penawar dan rahmat
bagi orang-orang yang beriman
dan Al-Qur'an itu tidaklah menambah kepada 
orang-orang yang zalim selain kerugian."
[Surah Al-Israa': 82]

Jumaat, 11 Mei 2012

Pengenalan

Assalaamu 'Alaikum dan salam sejahtera buat para pembaca yang dikasihi sekalian.

Mendapat berita gembira tentang kehamilan kita semestinya suatu nikmat yang perlu kita syukuri. Di kala kita sibuk mencari pakaian dan barang-barang untuk anak yang bakal dilahirkan, ingatlah, tidak semua orang dikurniakan rezeki semudah kita. Mungkin di sebalik senyuman yang diukir mereka, tersimpan seribu harapan dan doa agar dikurniakan zuriat untuk didakap dan dibelai manja.

Blog ini diterbitkan atas dasar untuk berkongsi petua, pengalaman, serta pengetahuan yang lain tentang kehamilan. Sebagai pembukaan serta permulaan blog ini, pengarang ingin berkongsi suatu doa bersama para pembaca, iaitu doa bagi mendapat zuriat yang soleh/baik:

رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَآءِ

"Ya Tuhanku berikanlah aku dari sisi-Mu zuriat yang baik.
Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar segala doa."
[Surah Ali-'Imraan: Ayat 38]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...